Friday, August 10, 2018

Kes kedua selesema burung kampung Loputung Tuaran

KES SELESEMA BURUNG KEDUA SELEPAS KAULUAN DIKESAN


TUARAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah mengesahkan ujian rapid di kampung Loputung positif selesema burung (Avian Influenza) – kes kedua selepas Kampung Kauluan.

Namun, Pengarah Operasi Pengurusan Wabak Tuaran JPV Dr. Vitalis Piusai berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) daripada sample yang diambil.



“Ini adalah kawasan terbaharu kita mengesan wabak selesema burung sejak 8 Ogos yang mana berada dalam tiga hingga lima kilometer (km) radius daripada kes pertama dikesan.

“Tetapi, kami masih menunggu ujian PCR yang lebih terperinci untuk mengetahui kesahihan ujian dan virus apa yang menyerang sebenarnya dalam masa dua hingga tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi Sabah News Today hari ini.

Vitalis berkata, JPV akan terus menjalankan operasi pelupusan unggas di kawasan satu km radius daripada pengesanan awal kes kedua wabak berkenaan.

“Walaupun hanya ujian rapid yang mengesahkan positif wabak selesema burung di kampung Loputung, operasi pelupusan unggas akan dijalankan malam ini juga.

“Di kampung itu, tidak terdapat sebarang ladang ternakan ayam komersial dan operasi pelupusan unggas hanya melibatkan ternakan kampung.

“Operasi ini kita jangkakan selesai dalam masa dua hari lagi dari sekarang,” jelasnya. Sumber- Sabah News Today

1 comment:

  1. Jangan di viralkan kalau tiada bukti secara sahih dari JPV...dapat memburukkan sesuatu nama kampung..

    ReplyDelete